MAJLIS DAERAH PUTATAN MAJLIS DAERAH PUTATAN

Latar Daerah Putatan


Putatan mendapat status sebagai sebuah daerah penuh pada 01 Mac 2007 melalui warta kerajaan tambahan kedua jilid ixii bertarikh 30 Ogos 2007 setelah sekian lama berada di bawah pentadbiran daerah Penampang . Pada Tanggal 30 April 2011 Putatan secara rasminya diisytiharkan sebagai sebuah daerah penuh dan berstatus bandar serta perasmiannya disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman, Ketua Menteri Sabah. Pentadbiran daerah Putatan beroperasi melalui bangunan urusetia kecil yang siap dibina dan diduduki pada bulan februari 2002 dan terletak di Pasir Putih Putatan, 1 km daripada Pekan Putatan.

Sebelum mencapai status daerah penuh, Putatan diberi status daerah Kecil gred V dan berstatus pekan dalam Daerah Penampang melalui warta Kerajaan Negeri Sabah yang berkuatkuasa pada 1hb Januari 1997. Dan pada 18 Mac 1997, Putatan secara rasminya diisytiharkan sebagai sebuah Daerah Kecil dan upacara perasmiannya telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah ke-9, Datuk Yong Teck Lee bertempat di Ruang Legar, Putatan Court Fasa II, Putatan.

Untuk rekod sejarah, sempadan daerah Putatan telah melalui dua kali pengezatan apabila beberapa pemimpin dari daerah Penampang melalui Jawatankuasa Bertindak Persempadanan Daerah Penampang dan Putatan membantah persempadanan daerah yang pertama. Seluas 10 km persegi kawasan yang mengandungi 9 buah kampung telah dikeluarkan dari daerah Putatan.

Pada bulan Ogos 2010, Majlis Daerah Putatan telah ditubuhkan dan pengujudan PBT ini telah melengkapkan proses penubuhan Putatan sebagai sebuah daerah dalam tempoh sepuluh tahun setelah dipisahkan dari daerah Penampang.